"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). " (Hujurat 49 : 15)

Iktibar dari kisah sahabat

In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful

Assalamualaikum w.b.t..


Pada suatu hari, sahabat Rasulullah, Abu Darda' melihat sekumpulan orang ramai sedang memukul dan memaki seseorang. Abu Darda terkejut seraya bertanya,

Abu Darda' : Kenapa dengan orang itu?

Orang ramai : Orang itu penjenayah dan suka melakukan dosa besar, tuan.

Abu Darda' : Kalau dia jatuh ke dalam perigi, apa yang akan kalian lakukan?

Orang ramai : Kami akan membantu mengeluarkannya, tuan.

Abu Darda' : Kalau begitu, jangan seksa dia kerana dia sedang terjatuh ke lembah dosa, tapi berikan 
kepadanya pelajaran, nasihat, dan teladan yang baik.

Akhirnya mereka mengikut saranan Abu Darda'. Mereka semua berhenti memukul penjenayah tersebut.penjenayah itu pun menangis teresak-esak, menyatakan taubat dan menyesal atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

* * * * *

 
Dari peristiwa ini, kita mendapat pelajaran berharga tentang cara dan pendekatan dakwah ( manhaj al-dakwah). Secara kesimpulan, ada 3 perkara penting yang dapat diambil dari manhaj al-dakwah Abu Darda':

  1) Dakwah hendaklah dilakukan dengan hikmah (kebijaksanaan).

Kata hikmah  memiliki makna yang tercegah dari keburukan. Hikmah juga bermakna pemikiran mendalam, tepat, benar atau mencapai kebenaran melalui ilmu dan amal.

"Dakwah dengan hikmah bermakna dakwah dengan tahap yang tepat dilihat dari segi alat, cara, dan waktu yang dipergunakan, sehingga peluang kejayaan menjadi besar."
-Sayyid Qutb-



 2) Kemungkaran tidak boleh dicegah dengan kemungkaran juga, tetapi harus dengan kebaikan.

Hal ini kerana, Islam mengajarkan agar keburukan tidak dilawan dengan keburukan sebaliknya dengan 
kebaikan seperti api yang hanya boleh dilawan dengan air. Firman Allah SWT :

"Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara Dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia" 
-Surah Fushilat, ayat 34-

 3) Para daie perlu prihatin terhadap keadaan orang yang menjadi sasaran dakwah.

Dakwah memerlukan hammasah dan jiddiyah yang tinggi. Ramai pendakwah yang apabila sudah naik ke atas mimbar dakwah memberi ucapan, meraka berasa telah selesai melaksanakan tugas dakwah, tanpa perlu tahu apakah dakwah atau nasihat yang telah disampaikan didengari atau diterima oleh khalayak atau tidak.

Dakwah dinilai berkesan apabila orang yang mendengar memahamai nilai-nilai yang disampaikan, kemudian tertarik dan berasa cinta dengan nilai-nilai tersebut. Akhirnya berlaku perubahan sikap dan perilaku mereka, sebagaimana dakwah yang disampaikan oleh sahabat Nabi, Abu Darda' dalam kisah diatas.


Jadi bagi kita yang mengaku diri kita sebagai seorang Daie, sejauh mana telah kita fahamai dan hayati manhaj dakwah ini? Jom sama-sama muhasabah diri..  :)


       (sumber : Majalah i, bil 87 )           

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...