"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). " (Hujurat 49 : 15)

Tuhan Beri Aku Cinta

بسم الله الرحمن الرحيم


Aku terpisat-pisat memandang semua hadirin di hadapanku. Mereka bukan siapa, mereka adalah sahabat-sahabatku juga. Sahabat-sahabat yang yang aku anggap sahabat-sahabat seperjuangan dunia akhirat. Sahabat-sahabat yang sentiasa meniti di bibir masing-masing ucapan keramat ‘ukhuwwah fillah Abadan abada’. Yang mungkin juga ada yang menganggap ucapan retorik di medan sebenar.



Mereka masih lagi menunggu ucapan pertama yang bakal muncul dariku. Aku sendiri tidak menyangka aku seberani ini. Entah kekuatan daripada mana yang menghambat jasadku maju ke hadapan. Rohku ikut tersentak, kaku seribu bahasa.

Aku tarik nafas sejenak. Setelah hampir pasti tujuan sebenar aku berada di hadapan hadirin pada sesi penutup Hari Keluarga anjuran Alumni kampusku. Pengerusi majlis sedikit mendekat ke arahku dan mengangguk-anggukkan kepala memberi isyarat supaya aku memulakan kata. Nasib baiklah majlis ini majlis yang tidak formal, agak santai dan bersahaja.

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakutuh. Saya tidak akan mengambil masa yang lama. Cukup sekejap sahaja.” Aku memulakan kata. Agak sukar menyusun ayat. Aku menarik nafas lagi. Seakan-akan bebanan hati tidak sabar lagi untuk diluah keluar. Kedua-dua belah tangan aku genggam padu mengumpul seribu kekuatan dalam diri.

“Seperti yang sahabat-sahabat sedia maklum, seperti kad yang diedarkan sebentar tadi, dengan rasa rendah diri saya menjemput sahabat-sahabat sekalian ke walimah saya 15 Ogos ini.” Terasa pipiku hangat benar. Tugas pertama telah selesai, walaupun ada lagi hasrat yang lebih besar ingin aku sampaikan. Aku melihat mereka dihadapanku penuh dengan pelbagai tafsiran sendiri. Ramai yang mungkin wajahnya masih kelihatan agak tertanya-tanya. Memang aku tahu, aneh benar jika muslimat sendiri yang mengumumkan walimahnya di majlis sebegini. Biasanya si muslimin yang mengambil tugas itu,dengan diperhatikan si muslimatnya dari jauh, malu-malu.

“Sahabat-sahabat mungkin tertanya-tanya, siapakah bakal suami saya. Namanya mungkin tidak pernah didengari di kalangan kita, malah tidak juga di kampus dulu. Hmmmm… Dia memang bukan di kalangan alumni kita, bukan juga bekas pelajar kampus kita. Jika disebut antara kategori pendokong dan penyokong, saya mengakui dia bukanlah pendokong perjuangan kita. Dia hanyalah peyokong yang saya yakini dan saya doakan suatu masa bakal menjadi pendokong sehebat sahabat-sahabat”. Aku menarik nafas lagi. Kali ini agak panjang, seolah-olah cuba mengawal hati yang sudah agak sebak.

“Sebelum ini, saya sudah menerima banyak komen dan sindiran terutamanya daripada sahabat-sahabat terdekat yang mengetahui lebih awal.” Ada yang menyebut perkahwinan saya dengan istilah ‘syarie, tapi tidak jamaie’. Ada juga yang mengatakan saya membelakangkan jemaah. Tidak melalui jalan Baitul Muslim. Ada juga sebahagian yang ignore sahaja e-mail saya, mungkin agak tidak puas hati dengan keputusan saya”

“Sahabat-sahabat, kerja tuhan siapa tahu? Jika diberi pilihan, saya pasti ingin memilih jalan yang sahabat-sahabat lalui. Saya pun ingin sekali memilih pasangan hidup penggerak barisan utama perjuangan. Pergi usrah, program, tamrin malah demonstrasi bersama-sama.”

“Saya mungkin tidak bernasib baik seperti sahabat-sahabat yang mungkin jalannya sungguh ideal. ‘Settle’ semasa masih di kampus, malah terus walimah apabila seketika habis belajar. Jalan saya lebih berliku. Baitul Muslim saya di kampus bertahan tidak lama. Bukan saya tidak berusaha, malah ada sahabat-sahabat serta ustaz, pernah cuba menjadi orang tengah untuk membantu saya . Malangnya tidak berhasil. Saya yakin Allah hitung setiap usaha dan kesakitan yang pernah saya alami.” Hati makin sebak, rasanya sudah tidak mampu dibendung lagi. Air mata yang sudah lama ditahan mula bergenang. Pantas saya sapu daripada mengalir.

“Bukan niat saya untuk meraih simpati. Saya hanya mahu sahabat-sahabat memahami situasi saya. Saya tak kuat untuk menghadapinya tanpa sokongan sahabat-sahabat. Saya sangat takut, suatu masa kerana rasa rendah diri berkahwin dengan orang bukan jemaah, saya makin jauh seperti segelintir sahabat-sahabat kita sebelum ini. Mereka mungkin tidak berniat untuk jauh daripada jemaah, tapi kerana tiada sokongan moral dan tanggapan tidak baik sahabat-sahabat, mereka merasa tidak layak untuk bersama kita. Kesudahannya mereka mula menjauh.”

Walalhua’lam, hanya Allah yang mampu menolong saya. Saya redha dengan ketentuanNya. Di sini saya berjanji untuk sentiasa komited dengan jemaah dalam kadar kemampuan saya di samping cuba membawa bakal suami saya bersama kita, insyaAllah. Assalamualaikum."

Air mata mula berguguran, tanpa sempat aku tahan. Dengan pantas aku melangkah kembali ke tempat duduk. Sungguh, hanya Allah saja yang tahu beratnya keputusan yang aku ambil. Berat lagi tugasku selepas ini untuk mengkader bakal suami sendiri menjadi penggerak perjuangan. Aku sendiri tidak pasti apakah aku mampu melakukan tugas seberat itu. Sindiran-sindiran orang bergelar sahabat sudah cukup melukan hatikuselama ini. Tapi aku tahu, aku perlu kuat untuk terus bertahan dalam medan penuh duri ini.

Hadirin masih diam seribu bahasa. Mungkin masih terpana dengan ucapan ringkasku. Sebahagiannya mula sebak mengikut melodi hati ini.

“Takbir!!” Laung seorang senior muslimin. Lantas seluruh dewan bergema dengan sahutan Allahukabar!!

Sesi penutup Hari Keluarga berakhir dengan sesi Doa Wehdah dan lafaz Bai’ah. Seperti selalunya majlis diakhiri dengan salam jamaie. Pelukan erat sahabat-sahabat muslimat sungguh membuatkan hati makin sebak. Bisikan di telinga dan tepukan lembut di belakang badan akan menjadi bekal semangat untuk aku bawa pulang nanti. Aku yakin sahabat sejati tak kan pernah mengecewakan.



*************************************************************************************

Walau aku senyum bukan berarti…
Aku selalu bahagia dalam hari

Ada yang tak ada di hati ini…
Di jiwa ini
hampa…
Ku bertemu sang adam di simpang hidupku

Mungkin akan ada cerita cinta

Namun ada saja cobaan hidup

Seakan aku hina

Tuhan berikanlah aku cinta

Untuk temaniku dalam sepi

Tangkap aku dalam terangMu
Biarkan lah aku punya cinta

Tuhan berikanlah aku cinta

Aku juga berhak bahagia

Berikan restu dan halalMu

Tuhan beri aku cinta…


*************************************************************************************

Aku tersedar daripada lamunan. Panjang benar aku menggelamun. Lagu nyanyian Ayushita, ‘Tuhan Beri Aku Cinta’ aku putarkan berulang-ulang kali. Gemar benar aku dengar lagu itu. Lagu yang menjadi soundtrack filem Indonesia “Ketika Cinta Bertasbih”. Filem yang diadaptasi daripada novel kegemaranku itu hasil tulisan habiburrahman El Syirazi. Apabila berkumandang lagu itu, seakan merintih di sudut hati, dalam doaku padaNya “Tuhan berikanlah aku cinta..aku juga berhak bahagia”.

Aku merenung kad wangi berwarna emas yang masih bertimbun di sudut meja. Masih banyak lagi yang tinggal. Maknanya masih ramai lagi kawan-kawan yang belum aku undang ke majlis bahagiaku. Sungguh pantas masa berlalu. Frasa “Kerja Tuhan siapa tahu” terawang-awang di kepalaku. Sungguh hebat percaturan Allah. Awal tahun ini, aku masih bersedih hati. Masih merintih memikirkan diri sendiri yang aku rasakan sungguh kasihan. Mengalirkan air mata apabila mendapat khabar sahabat-sahabat baik akan berkahwin dalam masa terdekat. Sungguh tidak aku sangka, aku akan berkahwin tidak lama lagi. Allah maha besar. Jodoh yang telah Allah tetapkan sekian lama kini dizahirkan menjadi berita paling indah.

Aku merenung lagi kad keemasan itu. Aku ambil satu dan membuka sampulnya. Nama yang tertera kubaca. Seolah-olah masih bermimpi.

Sumayyah & Nabhan

Nabhan seorang lelaki yang bekerja di syarikat yang sama denganku. Lelaki yang tidak pernah aku ambil kisah kehadirannya. Tidak pernah sekali pun aku menyimpan perasaan kepadanya. Kerana daripada awal aku memang ‘reserve’ hati ini untuk muslimin penggerak jemaah. Seperti yang selalu dinasihatkan oleh Unit baitul Muslim, jika boleh berkahwin dengan orang yang sama fikrah, rakan seperjuangan. Mudah untuk melakukan gerak kerja bersama nanti.

Bukan niatku untuk membelakangkan jemaah. Jauh sekali untuk jauh. Wallahua’lam, aku sendiri kurang pasti bagaimana akhirnya aku boleh membuat keputusan seberat ini. Aku tahu bukan mudah untuk seorang muslimat komited dengan perjuangan selepas ini apabila suaminya sendiri tidak faham apa yang diperjuangkan.

Setelah lama memohon petunjuk Allah, melalui doa dan istikharah yang panjang, aku bersetuju menerima. Kerana dia melamarku melalui jalan yang baik, dengan serius, maka berhak baginya untuk aku pertimbangkan dengan baik juga. Itu polisi hati aku. Hormati usaha orang. Allah maha kuasa. Segalanya dipermudahkan Allah. Ibu bapaku pun cepat benar menyatakan persetujuan.

Walaupun Nabhan bukan ahli gerakan, seboleh mungkin aku cuba menjaga perhubungan kami. Segala urusan dan perbincangan kebanyakannya melalui ibu bapa kami dan orang tengah. Buku “Aku Terima Nikahnya..” nukilan Ustaz Saifulislam.com pemberianku nampaknya berhasil secara tidak langsung menyampaikan mesejku untuk menjaga batas perhubungan. Mungkin itu kefahaman pertama yang cuba aku serapkan kepadanya.

Aku masih ingat syarat yang aku letakkan di awal Nabhan menyatakan hasratnya kepadaku . Aku meminta Nabhan untuk berjumpa Ustaz Hashim, Murabbi di sini. Biar dia memberitahu sendiri Ustaz Hashim hasrat hatinya sekaligus menjadikan ustaz orang tengah kami. Aku serahkan kepada Ustaz Hashim proses selanjutnya.

Dalam tempoh istikharahku selama tiga bulan, aku meletakkan syarat supaya Nabhan berusrah seminggu sekali dengan Ustaz Hashim. Juga khatam Al-quran berserta maksudnya selama tempoh itu. Bukan sengaja aku letak syarat-syarat itu. Bukan juga merasakan diri ini terlalu tinggi atau mulia sehinggakan ingin meletakkan pelbagai syarat yang mengada-ngada. Tapi ini sebagai latihan untuknya, jika benar bersungguh untuk melamarku. Kerana proses itu jugalah yang perlu dilalui selepas berkahwin. Perjuangan memang memerlukan banyak pengorbanan masa, wang dan tenaga.

Aku mahu Nabhan membiasakan diri, disamping cuba mendapat sedikit sebanyak kefahaman dengan Murabbi kami. Aku tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, untuk dia faham segalanya dalam masa yang singkat itu. Cukuplah bagiku jika dia mendapat gambaran awal, dan disetkan dalam kepalanya, itu yang perlu dilaluinya selepas berkahwin. Itulah maharnya jika dia benar-benar serius ingin menyunting muslimat perjuangan. Tidak sanggup aku gadaikan sebuah perjuangan kerana cinta lelaki walaupun itu yang didambakan, ‘Tuhan beri aku cinta’.

Aku serahkan pada Allah segalanya. Majlisku tinggal hampir sebulan sahaja lagi. Hanya Dia sahaja yang berkuasa untuk menentukan segalanya, walhal manusia hanya mampu merancang. Sungguh aku sendiri tidak dapat menjamin, selama mana aku mampu istiqamah dalam perjuangan ini. Namun hanya yang mampu aku lakukan adalah berusaha dan berdoa supaya Allah tetapkan hati ini dan hati bakal suamiku untuk bersama dalam perjuangan hingga ke akhirnya.


.:. tarbiyah mentarbiyah itu PENTING ^_^

2 comments:

Beejan said...

hm..tk saba nk tgk citer KCB nanti..

Waheda Amran said...

name Nabhan .. same name ngan my son .. NABHAN KHALIF ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...